Pemain perseorangan lelaki kedua negara, Ng Tze Yong melakar kejutan untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China 2023.

Permainan yang berlangsung sebentar tadi di Gimnasium Xincheng, Changzhou itu menyaksikan Tze Yong berjaya menundukkan pemain ranking keenam dunia. H.S Prannoy dalam aksi ‘rubber set’.

Berdepan lawan yang merupakan semi finalis Kejohanan Dunia tempoh hari jelas tidak menggentarkan semangat juang Tze Yong.

Ia jelas dibuktikan apabila beliau tampil dengan cukup bertenaga pada set pertama untuk menang 21-13.

Namun, segalanya serba tidak menjadi buat Tze Yong terutamanya pada awal set kedua setelah beliau ketinggalan 3-11 pada rehat ‘interval’.

Kelebihan selesa tersebut digunakan sepenuhnya oleh Prannoy untuk memenangi set kedua dengan mata 21-13 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Selepas ketinggalan 1-3 pada peringkat awal, Prannoy meningkatkan corak permainannya untuk memimpin permainan sehingga pada satu ketika beliau mendahului dengan kelebihan lima mata.

Bagaimanapun, Tze Yong kental bertahan dan cukup tenang bertahan ketika ketinggalan sehingga membolehkan beliau mendapatkan mata penting ketika kedudukan 18-18.

Keadaan genting itu disudahkan dengan baik oleh Tze Yong manakala kesilapan Prannoy
yang melakukan tolakan ke jaring menghadiahkan mata kemenangan buat wakil negara itu.

Kemenangan 21-18 itu sekali gus membawa Tze Yong ke pusingan kedua untuk bertemu Shesar Hiren Rhustavito. Wakil Indonesia itu mara selepas menundukkan seorang lagi pemain India, Priyanshu Rajawat.

Terbuka China 2023 merupakan antara kejohanan berprestij dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dimana ia berstatus Super 1000.